SADONG JAYA: Golongan muda harus mengekalkan tradisi dan warisan sekarang supaya tidak pupus ditelan zaman.
Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee berkata, aktiviti seperti tarian singa dan upacara tradisional sering dianjurkan untuk mengekalkan nilai dan warisan nenek moyang.
“Saya berharap generasi muda akan menjadi penyambung warisan apa yang kita ada hari ini.
“Kalau tidak, semua yang kita raikan dan banggakan hari ini akan menjadi sia-sia,” katanya semasa berucap di Majlis Ulang Tahun Ke-48 Persatuan Penganut Tua Pek Kong Semera Laut di sini semalam.
Katanya, persatuan ini bukan sahaja mempunyai peranan besar sebagai pusat aktiviti keagamaan malah tumpuan komuniti dalam penganjuran majlis sosial dan sebagainya.
Beliau terharu melihat keharmonian dalam kalangan masyarakat di Batang Sadong, khususnya di Sadong Jaya.
“Masyarakat Tiong Hua dan pelbagai kaum lain hidup dalam semangat muhibah, saling menghormati agama, adat dan budaya masing-masing.
“Inilah kekuatan kita di Sarawak, kerana adanya semangat perpaduan. Dan saya percaya, dengan sokongan semua lapisan masyarakat, kita mampu mengangkat kawasan ini menjadi lebih maju, sejahtera dan makmur,” katanya semasa perasmian pintu gerbang baharu tokong berkenaan.
Rodiyah turut memberi jaminan bahawa kerjasama antara pihak Ahli Parlimen dan ADUN Sadong Jaya akan diteruskan dalam menyokong pembangunan infrastruktur dan program keagamaan di kawasan tersebut.
Persatuan Penganut Tua Pek Kong Semera ditubuh sejak 1977.